Tuesday, 18 September 2012

ARAK: CADANGAN YANG TIDAK DI PERAKUI BOSS


1.   TUJUAN





2.    LATAR BELAKANG

Minuman beralkohol telah dibuktikan melalui kajian-kajian saintifik boleh mendatangkan kemudaratan kesihatan kepada peminumnya.  Kemudaratan kesihatan akut alkohol antaranya ialah mabuk, kecederaan, kemalangan dan pergaduhan kerana fikiran yang tidak waras ketika mabuk. Manakala pengambilan yang berterusan pula boleh meningkatkan risiko kegagalan fungsi organ badan seperti sirhosis hati di samping peminum juga boleh mengalami kebergantungan atau ketagihan kepada alkohol ini[2]. 

Data kemasukan ke hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  pada tahun 2010, menunjukkan kes kecelaruan mental dan tingkahlaku akibat pengambilan alkohol (mental and behavioural disorder due to use of alcohol) adalah sebanyak 968 kes iaitu 53% dari 1,829 kes kemasukkan ke hospital akibat kecelaruan mental dan tingkahlaku berpunca dari pengambilan substans psikoaktif (mental and behavioural disorders due to psychoactive substance use ). Manakala kemasukkan ke hospital akibat sirhosis hati yang berpunca dari pengambilan alkohol (alcoholic liver cirrhosis) adalah sebanyak 706 kes pada tahun 2010 berbanding 584 kes pada tahun 2009[3].

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Peraturan 361, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281] secara amnya telah pun melindungi orang ramai terhadap bahayanya minuman beralkohol dari segi penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan minuman tersebut. Namun Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang digubal di bawah Akta Makanan 1983 ini hanya terbatas kepada penetapan standard dan spesifikasi bagi minuman beralkohol dengan menyatakan larangan dan syarat khusus bagi maksud penjualan minuman beralkohol. 

 
 

 3.  ASAS-ASAS PERTIMBANGAN
3.1       Pengambilan alkohol telah dikenalpasti sebagai salah satu faktor risiko bagi penyakit tidak berjangkit (NCD). Pencegahan dan pengurangan faktor risiko ini akan mengurangkan kejadian dan bebanan penyakit-penyakit NCD

3.2       Kajian telah menunjukkan bahawa pengawalan kepada  kebolehdapatan dan ketersediaan (regulating accessibility and availability) minuman beralkohol adalah salah satu strategi yang berkesan bagi mengawal penggunaan minuman alkohol yang memudaratkan juga kesan mudarat alkohol kepada kesihatan[4].

3.3       Cadangan ini adalah selaras dengan “Global strategy to reduce the harmful use of alcohol” iaitu resolusi WHA63.13 yang telah dimeterai oleh Menteri-Menteri Kesihatan Sedunia semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke 63 (World Health Assembly) pada Mei 2010. Global Strategy ini telah mengariskan 10 bidang (option area) untuk kawalan alkohol dan antaranya adalah sistem cukai bagi mempastikan harga minuman beralkohol di paras yang tinggi untuk mengawal kebolehdapatannya di pasaran.[5]

3.4       WHO telah mengenalpasti  3 strategi berkesan yang dianggap sebagai “best buys strategies[6] bagi mengawal pengambilan dan kemudaratan alkohol iaitu;
i.             Cukai eksais minuman beralkohol yang tinggi
ii.            Pengharaman dan kawalan pemasaran / iklan minuman beralkohol
iii.           Kawalan premis jualan minuman beralkohol
3.5       Kajian ekonomi di beberapa negara maju dan negara sedang membangun menunjukkan hubungan antara cukai dan harga minuman beralkohol yang tinggi dengan penurunan jumlah pengambilan alkohol dan kemudaratan berkaitan alkohol[7].
3.6       Pada tahun 2004 kerajaan Malaysia telah menaikkan cukai sebanyak 26 peratus bagi bir dan 20 peratus bagi minuman beralkohol yang lain. Hasil dari kenaikan cukai tersebut satu laporan yang telah dikeluarkan menunjukkan bahawa penggunaan bir telah menurun sebanyak 5 peratus pada tahun 2005 dan 8 peratus pada tahun 2006[8]
3.7       Negara ini sedang menuju kepada status negara maju. Beberapa inisiatif dilaksanakan untuk mencapai taraf negara maju antaranya kenaikan gaji pekerja. Peningkatan pendapatan per kapita akan meningkatkan kebolehdapatan dan daya beli minuman beralkohol. Ini selaras dengan cadangan WHO supaya harga minuman beralkohol dikaji secara berkala sejajar dengan peningkatan inflasi dan pendapatan per kapita sesebuah negara.
3.8       Pada tahun 2006, prevalen remaja berumur antara 13-17 tahun yang minum alkohol adalah 4.5% (anggaran seramai 60,305 orang), dan 4.2% (anggaran seramai 121,052 orang) pada tahun 2011. Sebanyak 49% di kalangan remaja yang minum alkohol meminum bir[9]. Ini menunjukkan harga bir di negara ini masih mampu di beli oleh mereka yang berumur kurang dari 18 tahun.

4.      SYOR

Bagi mengawal jumlah pengambilan minuman beralkohol dan kemudaratannya adalah disyorkan kebolehdapatan dan ketersediaan (accessibility and availability) minuman beralkohol ini dikawal dengan mengkaji dan menaikkan cukai eksais minuman alkohol secara berkala bagi mempastikan cukai yang tinggi dikenakan ke atas minuman beralkohol.


 






[1] Ucapan bajet 2007, Pembentangan Rang Undang-undang Pembekalan (2007) di Dewan Rakyat pada 1 September 2006
[2] Summary of WHO Report, 2003, Alcohol, No Ordinary Commodity. A summary of a book, Addiction,98,1343-1350 (http://www.worldalcohol.net)

[3] Pusat Informatik Kesihatan, Data kemasukkan ke hospital-hospital di bawah KKM, 2007, KKM
[4] Summary of WHO Report, 2003, Alcohol, No Ordinary Commodity. A summary of a book, Addiction,98,1343-1350 (http://www.worldalcohol.net)
[5] WHO 2010, Global strategy to reduce the harmful use of alcohol.
[6] WHO discussion paper-Effective approaches for strengthening multisectoral action for NCDs
[7] Babor et al. 2010, Alcohol no ordinary commodity research and public policy 2nd edition, Oxford University Press, New York
[8] Heineken NV.2006.Annual report. www.heinekeninternational.com
[9] Kementerian Kesihatan Malaysia,  Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2006 dan 2011