1.
TUJUAN
Tujuan kertas cadangan ini adalah untuk mencadangkan
kepada Kementerian Kewangan, Malaysia supaya mengkaji dan menaikkan cukai eksais minuman
beralkohol secara berkala bagi mempastikan cukai yang tinggi dikenakan ke atas
minuman beralkohol. Ini adalah sebagai salah satu langkah untuk mengawal kebolehdapatan (availability) minuman beralkohol kepada
masyarakat terutamanya golongan yang berisiko seperti golongan remaja. Kali
terakhir cukai minuman beralkohol ini dinaikkan adalah pada tahun 2007 iaitu
sebanyak RM5 bagi setiap 1 liter minuman keras yang mengandungi lebih 40%
kandungan alkohol[1].
2. LATAR BELAKANG
Minuman beralkohol telah dibuktikan
melalui kajian-kajian saintifik boleh mendatangkan kemudaratan kesihatan kepada
peminumnya. Kemudaratan kesihatan akut
alkohol antaranya ialah mabuk, kecederaan, kemalangan dan pergaduhan kerana
fikiran yang tidak waras ketika mabuk. Manakala pengambilan yang berterusan
pula boleh meningkatkan risiko kegagalan fungsi organ badan seperti sirhosis
hati di samping peminum juga boleh mengalami kebergantungan atau ketagihan
kepada alkohol ini[2].
Data kemasukan ke hospital-hospital
di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2010, menunjukkan kes kecelaruan
mental dan tingkahlaku akibat pengambilan alkohol (mental and behavioural disorder due to use of alcohol) adalah
sebanyak 968 kes iaitu 53% dari 1,829 kes kemasukkan ke hospital akibat
kecelaruan mental dan tingkahlaku berpunca dari pengambilan substans psikoaktif
(mental and behavioural disorders due to
psychoactive substance use ). Manakala kemasukkan ke hospital akibat
sirhosis hati yang berpunca dari pengambilan alkohol (alcoholic liver cirrhosis)
adalah sebanyak 706 kes pada tahun 2010 berbanding 584 kes pada tahun 2009[3].
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
melalui Peraturan 361, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983
[Akta 281] secara amnya telah pun melindungi orang ramai terhadap bahayanya
minuman beralkohol dari segi penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan
minuman tersebut. Namun Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang digubal di bawah
Akta Makanan 1983 ini hanya terbatas kepada penetapan standard dan spesifikasi
bagi minuman beralkohol dengan menyatakan larangan dan syarat khusus bagi
maksud penjualan minuman beralkohol.
3. ASAS-ASAS PERTIMBANGAN
3.1 Pengambilan alkohol telah dikenalpasti sebagai salah satu faktor risiko
bagi penyakit tidak berjangkit (NCD). Pencegahan dan pengurangan faktor risiko
ini akan mengurangkan kejadian dan bebanan penyakit-penyakit NCD
3.2
Kajian telah menunjukkan bahawa pengawalan kepada kebolehdapatan dan ketersediaan (regulating
accessibility and availability)
minuman beralkohol adalah salah satu strategi yang berkesan bagi mengawal
penggunaan minuman alkohol yang memudaratkan juga kesan mudarat alkohol kepada
kesihatan[4].
3.3
Cadangan ini adalah selaras dengan “Global strategy to reduce the harmful use of alcohol” iaitu
resolusi WHA63.13 yang telah dimeterai oleh Menteri-Menteri Kesihatan Sedunia
semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke 63 (World Health Assembly) pada Mei 2010. Global Strategy ini telah mengariskan 10 bidang (option area) untuk kawalan alkohol dan
antaranya adalah sistem cukai bagi mempastikan
harga minuman beralkohol di paras yang tinggi untuk mengawal kebolehdapatannya
di pasaran.[5]
3.4
WHO telah mengenalpasti
3 strategi berkesan yang dianggap sebagai “best buys strategies”[6]
bagi mengawal pengambilan dan kemudaratan alkohol iaitu;
i.
Cukai eksais minuman
beralkohol yang tinggi
ii.
Pengharaman dan kawalan pemasaran / iklan minuman beralkohol
iii.
Kawalan premis jualan minuman beralkohol
3.5 Kajian ekonomi di beberapa
negara maju dan negara sedang membangun menunjukkan hubungan antara cukai dan
harga minuman beralkohol yang tinggi dengan penurunan jumlah pengambilan
alkohol dan kemudaratan berkaitan alkohol[7].
3.6 Pada tahun 2004 kerajaan Malaysia telah menaikkan cukai sebanyak 26
peratus bagi bir dan 20 peratus bagi minuman beralkohol yang lain. Hasil dari
kenaikan cukai tersebut satu laporan yang telah dikeluarkan menunjukkan bahawa
penggunaan bir telah menurun sebanyak 5 peratus pada tahun 2005 dan 8 peratus
pada tahun 2006[8]
3.7 Negara ini sedang menuju kepada status negara maju. Beberapa inisiatif
dilaksanakan untuk mencapai taraf negara maju antaranya kenaikan gaji pekerja.
Peningkatan pendapatan per kapita akan meningkatkan kebolehdapatan dan daya
beli minuman beralkohol. Ini selaras dengan cadangan WHO supaya harga minuman
beralkohol dikaji secara berkala sejajar dengan peningkatan inflasi dan
pendapatan per kapita sesebuah negara.
3.8
Pada tahun 2006, prevalen remaja berumur antara 13-17 tahun
yang minum alkohol adalah 4.5% (anggaran seramai 60,305 orang), dan 4.2%
(anggaran seramai 121,052 orang) pada tahun 2011. Sebanyak 49% di kalangan
remaja yang minum alkohol meminum bir[9].
Ini menunjukkan harga bir di negara ini masih mampu di beli oleh mereka yang
berumur kurang dari 18 tahun.
4. SYOR
Bagi mengawal jumlah pengambilan
minuman beralkohol dan kemudaratannya adalah disyorkan kebolehdapatan dan
ketersediaan (accessibility and
availability) minuman beralkohol ini dikawal dengan mengkaji dan menaikkan
cukai eksais minuman alkohol secara berkala bagi mempastikan cukai yang tinggi
dikenakan ke atas minuman beralkohol.
[1] Ucapan bajet 2007,
Pembentangan Rang Undang-undang Pembekalan (2007) di Dewan Rakyat pada 1
September 2006
[2] Summary of WHO Report, 2003, Alcohol, No Ordinary Commodity. A summary
of a book, Addiction,98,1343-1350 (http://www.worldalcohol.net)
[3] Pusat Informatik Kesihatan, Data kemasukkan ke hospital-hospital di
bawah KKM, 2007, KKM
[4] Summary of WHO Report, 2003, Alcohol, No Ordinary Commodity. A summary
of a book, Addiction,98,1343-1350 (http://www.worldalcohol.net)
[5] WHO 2010, Global strategy to reduce the harmful use of alcohol.
[7] Babor et al. 2010,
Alcohol no ordinary commodity research and public policy 2nd
edition, Oxford University Press, New York
[9] Kementerian Kesihatan Malaysia,
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2006 dan 2011
No comments:
Post a Comment