Friday, 16 March 2012

Perginya Seorang Kawan (Buat Dr Rosnah)

Jam 8.30 pagi, 15 hb Mac, 2012. Sedang bersarapan dengan Dr Jack di kedai mamak di hadapan Institut Kesihatan Umum, Jalan Bangsar, KL sementara munggu mesyuarat berkaitan 1care di Institut Pengurusan Kesihatan. dapat SMS mengatakan Dr Rosnah  bekas pengarah kesihatan Negeri Pahang telah kembali ke Rahmatullah pada awal pagi tadi setelah menghidap penyakit kanser sejak tahun lepas. memang sudah lama tidak bertemu dengan Allahyarhammah.

Saya kenal Dr Rosnah begitu lama. Kami sama-sama menjadi Pegawai Kesihatan Daerah. Saya di Seremban dan beliau di Alor Gajah dan Melaka Tengah.  Selepas itu beliau menjadi Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka dan saya sebagai Timbalan pengarah Kesihatan Negeri Sembilan.  Kemudian  selepas beliau menjadi Pengarah  Pahang, saya pula mengambil tempat beliau sebagai Pengarah Negeri Sembilan.

Dr Rosnah adalah seorang Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang sangat komited, berdidikasi dan dinamik. Walaupun semasa di daerah dan negeri, beliau banyak memberi buah fikiran dan pandangan dalam meningkatkan profesion ini.  Belaiu juga terlibat dalam gerakan menjadikan PPKA sebagai pakar dan mendapat elaun penuh sejak dari awal lagi.

Selain dari itu belaiu terkenal dengan semangat membimbing  dan membuat perubahan dan inovasi dalam sistem kesihatan negara ini. semasa belaiu menjadi Pengarah Kesihatan Negeri , belaiu banyak membantu memperkukuhkan program kesihatan awam di samping program-program baru seperti Kawalan NCD dan healthy city.. Malah kami sering bertukar-tukar pandangan dalam memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan  dan meningkatkan tahap profesionalisma PPKA.

Pemergian beliau dalam usia yang muda sangat di rasai oleh pelbagai golongan staf di KKM dan juga di negeri-negeri di mana beliau pernah berkhidmat. Semoga perjuangan beliau dapat diteruskan oleh generasi pelapis hari ini. Kita berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Rohnya dan menempatkan di kalangan roh orang-orang Soleh. Alfatihah.

Wednesday, 14 March 2012

ME (1962-1968 (1) ).

Period ini merupakan zaman persekolahan. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tebuk Banjar. Sekolah kampung. bermula dengan bangunan kayu, menumpang di balairaya dan seterusnya dengan bangunan baru.  Majoriti pelajar di sekolah ini adalah dari keturunan Banjar. Kurang dari 10 peratus ialah keturunan Melayu Perak dan Jawa.

Zaman dahulu tiada kelas pra-sekolah atau tadika. Tetapi murid-murid baru dibenarkan oleh pihak sekolah mengikuti kelas tahun satu  dihujung sesi tahun sebelumnya bagi membiasakan kanak-kanak dengan suasana sekolah sebelum sesi bermula sepenuhnya. Sudah menjadi amalan keluarga kami mengambil kesempatan ini walaupun tidak ramai keluarga lain yang berbuat demikian. kakak sulong dan abang saya juga begitu.

Kami ke sekolah berjalan kaki sejauh hampir 6 km. mengambil masa hampir 1 jam melalaui kebun getah, kawasan perkuburan dan hutan kecil. Waktu pulang biasanya lebih lama, kerana kami singgah mandi di parit, bermain guli dan biji getah atau mencuri buah rambutan dari kebun-kebun di tepi jalan. Kalau hujan waktu pagi , tak ke sekolah lah kami hari itu.

Biasanya Abah dan emak bangun pagi untuk menyediakan sarapan seperti nasi lemak, ubi ketuk atau lempeng dan kopi susu, yang juga dibawa sebagai bekal. Kopi susu diisi dalam botol  kaca bekas botol oren. Zaman tu tak ada duit belanja. kadang-kadang dapatlah 10 sen buat beli aiskrim. Beg sekolah dibuat dari guni tepung gandum dan emak yang jahit . Tapi masa tu abah dan Emak telah sedar mengenai kepentingan sarapan yang cukup dan berkhasiat. Kerana itu susu cap junjung, telur, ikan bilis dan  daging ayam (ayam yang kami pelihara sendiri) menjadi menu rutin makanan harian kami.

Kemudahan kesihatan semasa itu sangat terhad. yang ada hanya klinik bergerak (land rover) yang datang 2 minggu sekali di dewan orangramai. hanya 3 orang staf klinik masa itu-dresar (pembantu perubatan), atendan meramgkap drebar dan misi (penolong jururwat). mereka memberi rawatan ringan. seperti infestasi kutu (kutu kepala), kudis buta, cacing dan ubat demam. ubat yang paling popular di kalangan murid-murid sekolah pada masa itu ialah minyak kuda (LMS) yang disapu pada kaki supaya kuat berlari dan main bola. Zaman itu juga telah bermula vaksinasi small pox (cacar) dan TB. Klinik bergerak ini juga memberi rawatan dan membuat pemeriksan kesihatan sekolah.

Beginilah contoh bangunan sekolah lama